Monday, February 2, 2009

SEINDAH HIASAN...SEBESAR FITNAH...

بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji-pujian bagi ALlaah Yang Maha Pencipta, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wujud-Nya tanpa berhajat kepada tempat sebagaimana kewujudan makhluq-Nya berhajat kepada tempat. Selawat dan salam buat Nabi junjungan Nabi yang tercinta Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, para tabi'en, para waliyuLlaah, para 'ulama yang benar, para pejuang kebenaran agama ALlaah hingga hari qiamat
RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:

إِنَّ الدُّنْياَ كُلُّهَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا المَرْأَةُ الصَّالِحَةِ
Maksudnya: "Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah benda (makhluq), dan sebaik-baik benda adalah wanita yang solehah"
(Hadith Riwayat Muslim)

Jelas dalam hadith menyatakan bahawa apa sahaja yang wujud di dunia ini adalah merupakan benda yakni makhluq. Dalam konteks hadith ini, benda di sini boleh juga ditakrifkan sebagai perhiasan... Dan sebaik-perhiasan adalah wanita yang solehah..

Seorang nenek... dia adalah wanita...
Seorang ibu... dia adalah wanita...
Seorang isteri... dia adalah wanita...
Seorang anak gadis... dia juga adalah WANITA...

Apapun pangkat dan kedudukan wanita itu, selagi mana hayatnya dia istiqomah mentaati segala perintah dan larangan ALlaah dan Rasul-Nya... menginfaqkan seluruh jiwa dan raganya dan apa yang ada padanya termasuk kehidupannya semata-mata membuktikan pengabdian dirinya kepada ALlaah 'Azza wa Jalla... sebagaimana yang terkandung di dalam surah Adz-Zaariyat, ayat 56:
"Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk ber'ibadah kepada-Ku"

Maka insha'ALlaah dia adalah wanita solehah...

Mungkin ada yang tertanya-tanya, ketaatan yang bagaimanakah sehingga seorang wanita itu layak digelar wanita solehah, satu pengiktirafan yang berharga buat seorang wanita??? Perkataan taat itu terlalu kompleks dan memerlukan huraian yang panjang lebar...

Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila wanita telah mengerjakan sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (dari yang haram) dan taat kepada suaminya, maka dipersilakan bagi dirinya masuk syurga dari pintu mana yang ia suka"
(Hadith Riwayat Ahmad)
Adapun secara ringkasnya taat yang dimaksudkan di sini ialah:
1. Sentiasa bertawakkal kepada ALlaah
2. Menjadikan Al-Qur'an dan Al-Hadith sebagai sumber dan hukum dalam segala aspek kehidupannya
3. Berkorban demi Islam
4. Mengutamakan peringatan dan nasihat ALlaah daripada yang lain
5. Menghindarkan diri segala perkara yang mengundang fitnah dan bahaya pada dirinya, keluarganya, agama dan 'aqeedahnya.
6. Melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh ALlaah dan Rasul-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya

Semua wanita yang beriman mengharapkan untuk mencapai darjat wanita solehah... (Begitu juga dengan diriku... tapi layakkah diri ini memangku darjat yang tinggi itu...Moga ALlaah sentiasa menuntun jiwaku dan jiwamu wahai muslimah di luar sana untuk menjadi muslimah harapan agama)

Sabda baginda lagi:

مَاتَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: "Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman ALlaah 'Azza wa Jalla dalam surah At-Taghabun, ayat 14:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوّاً لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِن تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Hai orang-orang mu'min, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Bunga seringkali dikaitkan dengan wanita sebagai satu satu simbolik yang mana perlu kita amati maksudnya yang tersirat di sebalik yang tersurat. Wanita yang solehah, ibarat bunga mawar yang harum berduri dan terjaga di taman larangan. Tapi wanita yang toleh ibarat bunga tahi ayam, yang nampak cantik tapi busuk baunya... (Renungi analogi ini. Lihat dan nilai maksud tersirat di sebalik yang tersurat)...

Apapun kedudukan wanita, tidak kira sama ada sebagai nenek, ibu, isteri, atau sebagai anak gadis. Apabila dia seorang yang solehah, maka mereka berada dalam kedudukan yang tinggi dan mulia di antara seisi dunia. Tetapi jika disebaliknya, wanita juga mampu mengundang fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mungkin ada berkata, "saya tak de niat nak mengundang fitnah"... hakikatnya... ketahuilah! kehadiran wanita itu sendiri mampu mengundang fitnah andai tidak dikawal dan dipandu oleh syari'at ALlaah 'Azza wa Jalla.
Memandang wanita sahaja sudah boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutupi 'auratnya. Melangkah keluar rumah sahaja sudah bisa mengundang fitnah jika tidak dibatasi dengan syari'at.

RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaii wa sallam telah bersabda:
النساء حبائل الشيطان
Maksudnya: "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaithan"
(Hadith Riwayat Asy-Shihaab)

Menyedari akan hakikat, betapa besarnya kesan fitnah wanita itu dan merbahayanya bagi kaum lelaki, maka itu... wanita seharusnya melipat-gandakan usaha untuk menjaga diri mereka daripada fitnah yang datang sama ada disedari mahupun tidak, dan sekaligus berusaha mencapai darjat wanita solehah.

Lipatan sejarah telah memperlihatkan betapa banyaknya kerajaan yang musnah hanya dek kerana tingkah laku wanita, kebanyakan institusi kekeluargaan menjadi kucar-kacir juga disebabkan individu yang bergelar wanita yang tidak bertanggungjawab. Natijahnya, masyarakat menjadi kacau-bilau, haru-biru, tiada kedamaian, dan tiada sakinah (ketenangan) di pentas kehidupan mereka sekaligus memberi impak yang besar terhadap keharmonian masyarakat. Bahkan negara bisa hancur dek kerana tangan seorang wanita... Kerajaan Abasiyah, runtuh kerana wanita, pemerintahan Sultan Mahmud ketika zaman kesultanan Melayu Melaka juga kerana seorang wanita, kejatuhan era pemerintahan Bill Clinton juga dek kerana seorang wanita yang bernama Lewinsky... dan banyak lagi kisah sejarah yang menunjukkan betapa penangan seorang wanita terhadap lelaki khasnya dan negara amnya...

Telah berkata cendikiawan:
"Wanita adalah tiang negara, apabila wanita itu baik, maka baiklah negara itu dan apabila wanitanya rosak, maka rosaklah negara tersebut"

Maka itu, tika inilah wanita solehah sewajarnya tampil memainkan peranan mereka di tengah gelanggang pentas masyarakat yang bermasalah ibarat ubat penawar kepada pelbagai penyakit. Wanita solehah harus tampil menunjukkan keperibadiannya yang mulia, menggunakan segala kepakaran dan kemahiran yang ada padanya, kepintaran dan 'ilmu pengetahuan yang dianugerahkan kepadanya, dan berkorban apa sahaja yang dimilikinya semata-mata untuk menjadi alat rawatan kepada masyarakat yang menghadapi penyakit kronik. Wanita solehah akan sanggup melakukan semua perkara ini demi membuktikan kecintaannya terhadap ALlaah dan Rasul-Nya, dan keyakinannya terhadap kebenaran Islam, serta impiannya yang ingin mati di jalan ALlaah, demi melihat generasi akan datang lahir menjadi sebuah generasi yang hebat, yang beriman dan taat kepada ALlaah dan Rasul-Nya.

Berkata seorang penyair:
" Seorang ibu adalah madrasah. Apabila engkau mendidiknya, bererti engkau sedang menyediakan satu generasi yang unggu
l.”


Ada pepatah yang mengatakan:
" Tangan yang menghayun buaian bisa menggegarkan dunia"


Sedarlah wahai wanita! Tugas, tanggungjawab dan peranan wanita adalah berat, sukar untuk dilaksanakan dan sulit untuk diselesaikan jika tidak ada panduan dan pemahaman yang benar terhadap Islam. Untuk menjadi perhiasan yang terbaik atau dalam erti kata lain menggapai darjat wanita solehah adalah terlalu sukar, namun usaha ke arah itu wajib dibuat dan perlu berterusan.

RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaii wa sallam telah bersabda:
النساء حبائل الشيطان
Maksudnya: "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaithan"
(Hadith Riwayat Asy-Shihaab)

Ketahuilah! Sesungguhnya wanita adalah senjata yang paling ampuh yang digunakan oleh syaithan untuk merosakkan kaum lelaki khasnya dan masyarakat amnya... Ini boleh kita lihat disebalik lipatan sejarah yang membuktikan kenyataan ini dan termasuklah juga sejarah kehidupan manusia sejak penciptaan Nabi Adam 'alaihis salaam lagi.

Wanita solehah penyejuk mata hati... Mampu berperanan dan menjaga maruah dirinya keluarganya, masyarakatnya, negaranya dan agamanya. Dan sudah tentu agama itu menjadi keutamaan dirinya untuk sentiasa dipelihara dan dijaga sebaik-baiknya. Ini meletakkan dirinya sebagai wanita idaman masyarakat dan kecintaan kepada sesiapa yang memandang malah memiliki dirinya. Sebagaimana Firman ALlaah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkannya, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan atau kenikmatan hidup di dunia. Dan di sisi ALlaah tempat kembali yang paling baik (syurga)"
(Surah Ali-Imran: ayat 14)

Sehubungan dengan itu, menyedari betapa besarnya pengaruh wanita terhadap kehidupan dalam masyarakat...maka kaum wanita hendaklah berusaha meletakkan dirinya pada posisi yang benar. Ditarbiyyah (dididik) dan mentarbiyyah (mendidik) diri menjadi insan rabbani dan sekaligus melahirkan generasi yang juga mendapat tarbiyyah diri

Kepada kaum wanita yang ana hormati pada jalan ALlaah.. ketahuilah! Islam itu mudah.. tapi janganlah dipermudah-mudahkan hingga kita memandang enteng segala peraturan yang telah ditetapkan ALlaah. Ketika masyarakat hidup dalam zaman jahiliah, martabat wanita dipandang rendah... Tetapi agama Islam lah yang telah menaikkan martabat wanita. Maka itu, ana seru pada diri ana sendiri, dan wanita muslimah di luar sana agar kita bersama-sama mentarbiyyah diri menjadi wanita yang solehah... Moga kita mampu melahirkan generasi Robbani... Yang mengutamakan ALlaah dan Rasul-Nya dalam kehidupan...

Allah berfirman:

"Wahai org-org yg beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yg bahan bakarannya adalah manusia dan batu;penjaganya malaikat-malaikat yg kasar, dan keras, yg tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
(At-Tahriim:6)
Ada mutiara kata mengatakan:
"Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya.
Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya" Jika dinilai, diamati, dilihat maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat.. mutiara kata ini ada kebenarannya...

Akhirul kalam, wanita solehah akhirat utama, kerana dunia bukan pilihannya... Wanita solehah perhiasan dunia jika dirinya selamanya bertaqwa kepada ALlaah dan Rasul-Nya. Marilah bersama-sama menegakkan agama ALlaah bersama golongan pejuang agama ALlaah yang benar. Menyampaikan Islam yang haq. Moga kita menemui syahid pada jalan ALlaah, di saat kita menyampaikan risalah yang benar. TAKBIR!!!


P/s:
Buat masa ni , hanya ini yang mampu ana coretkan... posting sebagai salah satu alternatif kepada audience yang menghadiri ceramah ana sempena Nisa' Nite di sebuah IPT pada 3hb.Feb... Insha'ALlaah, jika tak de aral melintang... ana akan akan sentiasa edit artikel ini dengan tambahan dalil dan sirah yang berkaitan (Jika perlu)...
Sebuah perkongsian selamanya bermakna.
Mohon maaf dunia akhirat atas kesalahan tutur bicara dan ana mohon pembaca sekalian untuk bersama-sama memperbetulkan diri ana yang sentiasa terdedah melakukan kesilapan. BaarokaLlaahu fiikum ...

5 comments:

  1. Wanita.... Hiasan dunia.. Seindah hiasan adalah wanita solehah....

    aku nak jadi anak, dan muslimah yang solehah..

    amin.. amin.. ya robbal 'alamin.. :)

    ReplyDelete
  2. sama2lah kita berusaha mendidik diri menjadi wanita yang solehah lagi diredhoi Allah.

    Aameen

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Nurjannah. Terima kasih kerana menjemput kakchik membaca artikel ini. Satu artikel yang bagus. Memahami diri ini seorang Muslimah, sebab itulah kakchik cuba turuti jejak para isteri nabi dan wanita solehah terdahulu. Kerana hujung hayat kita pasti bertemu dengan Pencipta jua. Sukar untuk menjadi wanita solehah ini kerana dugaannya terlalu banyak.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaykumussalam wa rohmatullah.

    betul3x :)

    ReplyDelete
  5. syukran ya ukhti...artikel yg begitu bagus...teruskan berdakwah di alam maya...satu renungan dan tazkirah buat kita semua muslimah di bumi yg fana'

    ReplyDelete