Thursday, April 23, 2009

MAHA SUCI ALLAH YANG BERSIFAT DENGAN SEGALA SIFAT KESEMPURNAAN...

بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji-pujian bagi ALlaah Subhanahu wa Ta'ala. Tuhan yang Mencipta dan Mentadbir 'alam ini. Allah wujud tanpa berhajat kepada tempat. Mana mungkin Dia berhajat kepada tempat kerana tempat itu sendiri adalah makhluq yang diciptakan-Nya. Sedang Allah adalah Tuhan Yang Menciptakan segala apa-apa yang ada di langit dan di bumi dan apa-apa yang wujud di antara keduanya. Maha Suci Allah yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak bagi diri-Nya. Maha Suci Allah daripada bersifat dengan sifat kekurangan. Selawat dan salam buat Nabi junjungan kekasih ALlaah Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda dan sekalian para 'ulama penegak tauhid , penyampai dan pencari kebenaran hingga hari qiamat. Aameen.



Sesungguhnya Allah Ta'ala bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak bagiNya (الموصوفُ بكل كمالٍ يليق به). Dan hendaklah kita fahami bahawa terdapat banyak sifat-sifat kesempurnaan, namun Allah Ta'ala bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang terpuji yang hanya layak bagiNya sahaja.

Muslimin muslimat yang ana kasihi pada jalan Allah...
Hendaklah kita mengetahui dan berpegang bahawa Allah Ta'ala suci daripada segala sifat kekurangan (المنزَّهُ عن كل نقصٍ في حقِّه) ya'ni daripada segala sifat yang tidak layak bagiNya. Iaitu Maha Suci Allah Ta'ala (Allah Ta'ala tidak layak untuk bersifat) daripada sifat jahil, lemah, bertempat, berwarna, mempunyai had, memerlukan ruang, duduk, berbentuk, berarah dan segala daripada sifat-sifat kekurangan di mana segala sifat kekurangan tersebut adalah tidak layak bagiNya.



Telah berkata al-Imam Abu Ja'far at-Tahawi (Ahmad bin Muhammad bin Salamah: wafat 321H) yang merupakan 'ulama salaf dan telah hidup pada kurun salaf:
لا تحويه الجهات الستّ كسائر المبتدعات
Tidak Dikandung Dia (Allah Ta'ala) Oleh Enam Arah (Atas, Bawah, Depan, Belakang, Kiri, Kanan) Seperti Sekalian Makhluq
[Aqidah at-Tahawiyyah, hlm 15, Dar al-Yaqin, ed.1 1995]

(Makhluq yg diciptakan Allah diliputi oleh 6 arah)

Dan ini adalah 'Aqidah Salafussoleh sebenar yang menjelaskan 'Aqidah Ahlu Sunnah wa al-Jama'ah yang perlu kita berpegang dengannya. Begitu juga 'Aqidah al-Imam Abu Hanifah (wafat 150H), Abu Yusuf al-Qadhi (wafat 182H), Muhammad bin al-Hassan as-Syaibani (wafat 189H) kesemua mereka adalah 'ulama yang hidup pada tahun sebelum 300 Hijrah.

Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak layak disifatkan dengan segala sifat kekurangan yg tidak layak bagiNya, seperti bersifat duduk kerana sifat duduk adalah merupakan sifat kekurangan, disebabkan sifat duduk memerlukan kepada sesuatu yg di duduk, seperti kerusi (duduk di atas kerusi). Dan sifat duduk memerlukan (الجهة) arah (di atas kerusi). Sifat duduk itu adalah sifat yg hanya layak disandarkan kepada makhluq seperti manusia (manusia duduk di atas kerusi). Oleh itu, Allah Ta'ala tidak layak disifatkan dengan sifat duduk (Wal'iyadzubiLlah).

Berkata al-Imam Abu Ja'far at-Tahawi:
ومن وصف الله بمعنى من معاني البشر فقد كفر
Dan Sesiapa Yg Mensifatkan Allah Dengan Makna Daripada Makna (Sifat) Manusia, Maka Dia Telah Kufur
[Aqidah at-Tahawiyyah]

Malah hendaklah kita berpegang bahawa Allah Ta'ala tidak menyerupai segala sesuatu yang boleh kita bayangkan di pemikiran kita. Apa sahaja yg kita mampu bayangkan di fikiran kita, maka sesungguhnya ia adalah segala perkara baharu (makhluq) yang mempunyai jisim dan ruang di mana ia bersifat dengan sifat kekurangan kerana memerlukan tempat.

Firman Allah Ta'ala:
AQWAL AHLUSSUNNAH WAL JAMA\
Tidak Menyerupai Dia (Allah) Dengan Segala Sesuatu, Dan Dia Maha Mendengar Lagi Maha Melihat
[Surah as-Syura: 11]

Ayat al-Quran di atas adalah ayat yg sorih (jelas) yang mensucikan Allah Ta'ala daripada segala sesuatu. Manakala, huruf al-kaf pada (
كمثله) dalam ayat tersebut untuk menekankan/menta`kid penafian pada ayat tersebut yg menafikan apa yg tidak layak bagiNya iaitu Dia (Allah Ta'ala) tidak menyerupai segala sesuatu.

Dan Allah Ta'ala tidak seperti segala sesuatu yg boleh kita bayangkan. Tetapi kita perlu yakin bahawa Allah Ta'ala itu wujud dan janganlah sehingga kita menafikan kewujudan Allah Ta'ala pula (Wal'iyadzubiLlah).

Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal & Imam Dzu an-Nun al-Misri:
مهما تصورت ببالك فالله بخلاف ذلك
Apa Sahaja Yang Digambarkan (Dibayangkan) Di Fikiran Kamu, Maka Allah Bersalahan (Seperti Apa Yang Digambarkan) Itu

[Diriwayatkan Daripada Imam Dzu an-Nun al-Misri Oleh al-Hafidz al-Khatib al-Baghdadi Dalam Kitab Tarikh Baghdad, Dar al-Kutub al-'Ilmiah, Beirut & Diriwayatkan Juga Daripada Imam Ahmad bin Hanbal Oleh Abu al Fadhl Abd al-Wahid bin Abd al-Ghani at-Tamimi


(Gambar ini hanyalah sebuah lukisan drpd seorang manusia yakni makhluq Allah)


(Gambar ini adalah gambar sebenar...SubhanaLlah sungguh indah ciptaan-Nya)
Siang dan malam silih berganti tidak pernah bertembung. Ini adalah salah satu tanda kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Lihatlah 'alam. Gunakan pancaindera yang diciptakan-Nya untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah

Ketahuilah saudara se'aqeedah yang ana kasihi pada jalan Allah...
Allah memiliki SEGALA SIFAT KESEMPURNAAN YANG LAYAK BAGI-NYA... dan DIA MAHA SUCI daripada segala kekurangan pada hak-Nya...

Allah TIDAK MENYERUPAI SESUATU pun dari makhluq-Nya dan TIDAK ADA SESUATU PUN dari makhluq-Nya yang menyerupai-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.


Maka hanya DIA yang TIDAK ADA PERMULAAN bagi-Nya (al-Qadim) dan selain-Nya adalah bersifat hadis (memiliki permulaan iaitu baharu). Allah Maha Pencipta dan selain-Nya adalah ciptaan-Nya.


P/s: Jauhilah fahaman yang mentasybihkan dan mentajsimkan Allah... Mungkin ada sesetengah daripada kita yang pernah mencoretkan bait-bait bicara dengan tujuan menyatakan kecintaan kepada Allah...tapi tanpa sedar ... hampir-hampir terjebak dalam menyamakan Dzat dan sifat-sifat Allah sebagaimana makhluq-Nya (na'uzubiLlaaahi min zalik)

Marilah kita membaca dengan mata hati kita untuk mencari kebenaran...Mohon maaf dunia akhirat atas segala tutur bicara yang mengguris hati mana pihak...


Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku"
Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56

Pesanan dari yang faqir lagi di sisi-Nya untuk diri ana sendiri dan sekalian para pembaca yang hormati kerana Allah...

No comments:

Post a Comment