Friday, April 17, 2009

BUAT PARA PENCINTA 'ILMU (Please read this article)

بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji-pujian milik Allah Yang Maha Agung. Dia-lah Yang memberi rezeqi, Dia-lah Yang Maha Berkuasa Menciptakan pendengaran dan penglihatan dan Dia-lah Yang Mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan Mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan yang dicintai dan dirindui yakni Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam, ahlul bayt, sahabat-sahabat Baginda yang dimuliakan Allah, dan sekalian para 'ulama yang haq, para waliyyullah, para mujaahideen, mujahidah hingga hari qiamah. Aameen.


Muslimin muslimat yang dirahmati Allah...
Apa khabar iman dan 'amal? ...kita sering bertanya kepada kaum kerabat, sahabat handai, rakan taulan dengan pertanyaan "khabar" mereka dengan "maksud" khabar yang zohir....

Mungkin jarang sekali kita bertanya apa khabar iman dan 'amal mereka. Bahkan boleh jadi jika "khabar" ini yang ditanyakan kepada diri kita, mungkin ada sedikit tersentak dengan pertanyaan sedemikian rupa. Macam-macam "rasa" yang bermain di hati, macam-macam "cuaca" di "langit" fikiran, macam-macam "kocakan dan ombak" di kolam lautan nurani kita... jika ditanyakan soalan sedemikian...

Betul ke tak? Jawapannya... ana kembalikan pada sekalian pembaca yang ana hormati pada jalan Allah... walau apepun, terimalah semua itu dengan lapang dada, dan jadikan ianya "titik permulaan" untuk kita istiqomah bermuhasabah diri... tentang keadaan iman dan 'amal kita... (pesanan ini KHAS untuk diri ana yang sering alpa dan untuk sekalian pembaca (T_T)



Muslimin muslimat yang ana kasihi pada jalan Allah...
Pada suatu hari, datang seorang sahabat menemui Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam dengan mengajukan pertanyaan: "Wahai Rasulullah, apakah 'amalan yang paling utama?

Jawab RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam: "Ilmu pengetahuan tentang Allah".

Sahabat itu bertanya lagi: "Ilmu apa yang Nabi maksudkan?

Jawab Nabi SollaLlaahu 'alaihi wa sallam:
"Ilmu pengetahuan tentang Allah Subhanahu wa Ta'ala"

Rupa-rupanya sahabat itu menyangka RasuluLlaah salah faham, ditegaskan lagi: "wahai RasuluLlaah, kami bertanya tentang 'amalan, sedangkan Nabi menjawab tentang 'ilmu-Nya."

Jawab Nabi SollaLlaahu 'alaihi wa sallam: "Sesungguhnya sedikit 'amalan akan berfaedah apabila disertai dengan 'ilmu tentang Allah Ta'ala dan banyak 'amalan tidak akan bermanfaat apabila disertai dengan kejahilan tentang Allah"

ALlaah Subhanahu wa Ta'ala telah menyuruh hamba-hamba-Nya agar
mengenali diri-Nya sebelum melakukan 'amalan 'ibadah kepada-Nya.

Firman ALlaah Subhanahu wa Ta'ala:


فاعلم أنه لاإله إلا الله واستغفر لذنبك
Maksudnya: "Maka ketahuilah, sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali ALlaah dan mintalah (pengampunan dari ALlaah) atas dosamu"
(Surah Muhammad, ayat 19)

Dalam ayat ini telah didahului dengan pengenalan bahawa
tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALlaah sebelum seseorang itu beristighfar dan melakukan 'amalan 'ibadah yang lain. Istighfar sebelum mengenali-Nya adalah sia-sia. Alangkah ruginya jika seseorang itu ber'amal dalam keadaan tetap membiarkan dirinya dalam kejahilan dan tidak tahu tentang pengEsaan ALlaah Subhanahu wa Ta'ala.


Kata Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Fiqhul Absot:
إعلم أن الفقه في الدين أفضل من الفقه في الاحكام
Maknanya: "Ketahuilah bahawa 'ilmu tauhid itu lebih baik dari 'ilmu yang berkaitan dengan 'ilmu hukum-hakam"

Menuntut 'ilmu adalah menjadi kewajipan bagi kita semua umat Islam. Sebagaimana Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: Menuntut ilmu(yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim
(Diriwayat oleh al-Bayhaqi)

Sebelum ini ana telah menulis beberapa artikel berkenaan dengan kelebihan mendalami 'ilmu tauhid dan berkenaan keperluan menuntut 'ilmu dan juga 'amalan-'amalan yang boleh dilakukan untuk menguatkan ingatan.
http://al-syahidah.blogspot.com/2009/01/tuntulah-ilmu-ya-talib-al-haq.html
http://al-syahidah.blogspot.com/2009/02/kelebihan-mengetahui-memahami-ilmu.html
http://al-syahidah.blogspot.com/2009/01/kenalilah-allaah-melalui-ciptaannya.html

http://al-syahidah.blogspot.com/2009/01/amalan-menguatkan-ingatan.html

Oleh itu, pada kali ini, ana ingin berkongsi berkenaan beberapa perkara yang perlu dijaga dalam kita berusaha mencari dan menuntut 'ilmu agar 'ilmu yang kita perolehi itu bermanfaat lagi diberkati di sisi Allah. Insha'Allah....

Muslimin muslimat (khususnya kepada para pencinta 'ilmu) yang ana hormati kerana Allah...

Dalam usaha kita mencari 'ilmu untuk menjadi "bekalan" kita "di sana" nanti... maka para 'ulama telah memberi beberapa panduan. agar 'ilmu yang kita perolehi itu diberkati Allah. Antara yang perlu dijaga adalah seperti berikut:

1.NIAT

- Apa sahaja tindakan kita adalah dimulakan dengan niat. Maka sudah tentu orang yang ingin menuntut 'ilmu TIDAK TERLEPAS daripada adanya niat ketika hendak belajar kerana niat itu merupakan asal segala perlakuan


- Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda
إنما الأعمال بالنيات
Maksudnya: "Sesungguhnya segala 'amalan bergantung kepada niat"
(Hadith sohih)
- Nabi SollaLlaahu 'alaihi wa sallam bersabda lagi:
كم من عمل يتصور بصورة أعمال الدنيا ويصير بحسن النية من أعمال الاخرة و كم من عمل يتصور بصورة أعمال الاخرة ثم يصير من أعمال الدنيا بسوء النية
Maksudnya: "Berapa banyak daripada 'amalan-'amalan yang tergambar dengan rupa gambaran 'amalan-'amalan dunia dan ia menjadi dengan elok niatnya daripada 'amalan-'amalan akhirat. Dan berapa banyak 'amalan-'amalan yang berupa dengan rupa 'amalan-'amalan akhirat kemudian, menjadi daripada 'amalan-'amalan dunia dengan jahat niatnya.

-Bagi pencinta 'ilmu, sudah tentu sentiasa menjaga niatnya. Menuntut 'ilmu semata-mata kerana ingin mendapatkan keredhoan Allah, negeri akhirat dan berharap agar dapat menghilangkan kejahilan yang bersarang dalam dirinya.

- Nabi Muhammad sollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah mengancam bagi mereka yang menuntut 'ilmu bukan kerana Allah sebagaimana baginda SollaLlaahu 'alaihi wa sallam:
من طلب العلم ليجاري به العلمآء أو ليماري به السفهآء أو يصرف وجوه الناس إليه أدخله الله النار
Maksudnya: "Barangsiapa yang menuntut 'ilmu untuk bersaing dengan 'ulama atau untuk merendahkan orang jahil atau untuk disanjung manusia maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka"
(Hadith Riwayat Tirmizi)

2.AMALKAN 'ILMU

- Suatu hari Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam bertanya kepada Bilal Bin Rabah: "Wahai Bilal, apakah 'amalanmu hingga aku mendengar bunyi terompahmu di dalam syurga? Jawab Bilal: "Setiap kali aku selesai berwudhu', aku akan mendirikan solat sunat 2 raka'at". Ilmu yang di'amalkan walaupun sedikit tetapi insha'Allah ia akan mendapat keberkatan dan mengundang kasih Allah kepada kita.

- Ilmu yang di'amalkan akan berkesan dan berhasil. Sekiranya seorang penuntut mempelajari cara memperbaiki kereta, dan sentiasa memperbaiki kereta maka penuntut itu akan menjadi mekanik yang mahir.. kalau tak akan berlaku di sebaliknya. (Contohnya, macam ana la,hehehe. Baru-baru ni sebelah tayar kereta ana meletup kerana ana terlanggar pembahagi jalan... waa, memang tak reti nak buka dan tukar tayar sendiri... Walaupun pernah belajar masa nak ambik lesen 3 tahun lalu (",) akhirnya terpakse la juga panggil mekanik.. mana taknyer. inilah kesnanyer bila mana 'ilmu buka dan tukar tayar ni tak dipraktikkan... ni sebagai contoh shj)

- Untuk mendapatkan 'ilmu yang berkat, setiap 'ilmu itu mestilah di'amalkan. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

أما الذين ءامنوا وعملوا الصلحت فلهم جنت المأوى نزلا بما كانوا يعملون
Maksudnya: "Adapun orang-orang yang beriman dan ber'amal soleh, maka mereka akan beroleh syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan"
(Surah As-Sajdah: ayat 19)

Telah berkata Assyeikhul Imamul Ajal Burhanuddin Sohibul Hidayah yang ditujukan kepada mereka yang tidak ber'ilmu

"Kerosakan yang besar itu orang 'alim yang tidak ber'amal dan lebih besar daripada orang jahil berbuat 'amalannya... Kedua-duanya itu FITNAH YANG BESAR pada 'alimnya.Bagi mereka yang berpegang pada agamanya dengan kedua-duanya

3.MULIAKAN GURU

- Seorang 'ulama terkenal bernama Sheikh Kadi Imam Fakhruddin Al-Arsabadi amat digeruni sultan. Berkata Syeikh Fakhrudin:

"Aku digeruni sultan kerana aku berkhidmat kepada guruku Sheikh Imam Yazid Addabusi. Aku masak untuknya selama 30 tahun dan aku tidak makan sedikit pun daripada makanan itu"



Ketahuilah sahabat-sahabatku...
- TIADA ORANG MENJADI MULIA TANPA GURU... Belajar PERLU BERGURU.

- 'Ilmu boleh diperolehi melalui membaca, internet, buku, majalah dan sebagainya tetapi untuk memperoleh keberkatan 'ilmu MESTI MELALUI GURU kerana guru yang ikhlas bukan sekadar menyampaikan 'ilmu tetapi turut mendoakan kebahagiaan anak-anak muridnya dunia akhirat dan mendidik anak-anak muridnya hingga menjadi orang yang ber'ilmu. Bahkan murid tersebut juga akan mampu meneruskan tugas menyampaikan 'ilmu. Inilah yang dinamakan 'ilmu yang bermanfaat.

- Guru adalah manusia yang sangat mulia, kerana tugasnya menyampaikan 'ilmu apatah lagi 'ilmu yang diajarkan itu adalah 'ilmu tentang agama Allah.

- Sesiapa yang memuliakan guru akan mendapat keberkatan 'ilmu, dan sesiapa yang mendapat keberkatan 'ilmu maka dia layak mendapat kemuliaan.
(Insha'Allah, ana akan menulis lagi dalam artikel seterusnya berkenaan dengan adab memuliakan guru)

- Jangan sesekali mengumpat guru, mahupun buruk sangka dengan guru. Kadangkala ada pelakuan yang dilakukan oleh guru, seolah-olah "tak ngam" di jiwa muridnya.
Sebagaimana yang dipesan oleh Imam Ghazali:

"Jangan jahat sangka terhadap gurunya apabila ia melihat gurunya mengerjakan seuatu pekerjaan yang pada zahirnya menyalahi ilmunya {bukan menyalahi agama} maka gurunya itu adalah lebih mengetahui dengan rahsia segala perbuatannya. Dalam hal ini hendaklah ia mengingati akan perkataan Nabi Musa 'alaihissallam bagi Nabi Khidir 'alaihissallam seperti yang disebutkan di dalam Al-Qur'an:

قال أخرقتها لتغرق أهلها لقد جئت شيئا إمرا
Maksudnya: "Berkata {Nabi Musa kepda Nabi Khidir): Apakah engkau rosakkan kapal ini untuk engkau menenggelamkan semua penumpangnya. Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar"
(Surah al-Kahfi: ayat 71)

Maka hendaklah ia mengingati bahawa sebenarnya dia tersalah keingkarannya itu. Kerana ia hanya memandang hukum yang zohir pada sisinya. [Ikuti kisah Nabi Musa 'alaiissallam dan Nabi Khidir 'alaihissallam dalam surah al-Kahfi, ayat 60 -82)


4.MEMULIAKAN KITAB/BUKU

- Syeikh Imam al-Hilwani adalah seorang 'ulama yang terkenal. Beliau menceritakan antara rahsia kejayaannya menjadi 'ulama yang disegani dan digeruni ialah:
"Aku mendapat 'ilmu dan kemudian sehingga ini kerana aku memegang kitab dalam keadaan berwudhu'"

- Kitab/ buku adalah gudang 'ilmu yang perlu dipelihara dan dimuliakan. Sesiapa yang memuliakan kitab/ buku akan mendapat kemuliaan dan keberkatan 'ilmu.

- Sesiapa yang tidak memuliakan kitab dan 'ilmu akan kehilangan keberkatan 'ilmu dan kehidupan.

- Saidina Abu Bakar berijtihad membukukan al-Qur'an kerana memuliakan al-Qur'an.


- Antara cara memuliakan kitab/ buku adalah seperti berikut:
a. Memegang kitab / buku dengan berwudhu'

b. Tidak menghadapkan atau melunjurkan kaki di hadapan kitab atau buku

c.Meletakkan kitab agama di atas buku akademik sekiranya di susun bertimpa-timpa.

d.Tidak meletakkan sesuatu di atas kitab/ buku seperti pen, cermin mata, dan sebagainya.

e.Elakkan tulisan di dalam kitab/ buku (tidak menconteng kitab/ buku)

f.Tidak membiarkan kitab/ buku terbuka selepas membacanya

g.Membiasakan diri dengan memegang kitab/ buku dengan tangan sebelah kanan

h. Tidak meletakkan kitab/ buku di tempat yang tidak sewajarnya

i. Letak dan susun kitab/ buku elok-elok

j. Sekiranya terjumpa kitab/ buku di atas tanah, di tepi jalan, di dalam tong sampah apatah lagi terdapatnya ayat al-Qur'an atau pun 'ilmu agama dan letakkanlah ia di tempat yang mulia

- Kini ramai pelajar-pelajar bahkan guru agama sendiri pun membuang kertas jawapan yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an atau al-Hadith di dalam tong sampah kerana tersilap menjawab ataupun menaip. Guru-guru yang menjaga dewan membiarkan perkara ini terus berlaku maka akan terangkatlah keberkatan 'ilmu di sekolah tersebut walaupun pencapaian keputusan peperiksaan adalah yang terbaik di seluruh negara mahupun dunia (fikir-fikir, renung-renungkan... tanya diri, pernahkah melakukan perkara sedemikian rupa???)


j.Menghadap qiblat semasa membaca kitab/ buku
- Bersabda Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam:
"Sebaik-baik duduk adalah duduk menghadap qiblat"

- Sekiranya kitab yang dibaca adalah kitab turath (kitab kuning atau kitab lama), maka bacalah hamisy dan hasyiahnya (penjelasannya)... Maka itu adalah SANGAT2 DIGALAKKAN PELAJARI KITAB seperti ini secara BERTALAQQI DENGAN GURU YANG MURSYID

k. Bacalah kitab/ buku dimulia dengan do'a-do'a yang dianjurkan oleh RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam

SUMBER:
* Ta'limul Muta'allim Fii Toriqut Ta'lim, Al Alamah As-Syeikh Azzarnuji
* 21 Rahsia Mendapat Keberkatan 'Ilmu, Ustaz Mohd Kamal Bin Mohd Said

P/s:
Ya Allah...Kurniakan 'ilmu ma'rifatullah. Tambahkanlah 'ilmu kepadaku, dan rezeqikanlah aku kefahaman. Ya Allah kurniakanlah aku 'ilmu yang bermanfaat. Jadikanlah aku orang yang mendapat petunjuk memimpin manusia ke arah petunjukMu, dan aku berlindung kepada-Mu daripada disesatkan dan menyesatkan orang lain. Ya Allah, Kepada-Mu aku beriman dan kepada-Mu aku bertawakkal. Ya Allah... Janganlah Engkau jadikan diriku sasaran fitnah bagi kaum yang zolim dan selamatkanlah diriku dengan rahmat-Mu dari tipu daya orang-orang yang kafir... Ku pohon pada-Mu ya Allah, Engkau goncangkanlah hati-hati mereka yang cuba untuk memecah-belahkan ummah, yang memfitnah diriku dan berburuk sangka padaku sehingga mereka kembali menyedari akan hakikat kebenaran dan matlamatku dalam menyampaikan risalah-Mu. Sehingga mereka sedar akan kesilapan mereka dan penganiayaan yang mereka lakukan atasku. Sesungguhnya, aku hamba-Mu yang lemah dan kerdil di sisi-Mu, dan hanya kepada Engkau aku berserah diri. Aameen



Sedar tak sedar mungkin kita pernah menuturkan bicara yang seolah-olah "memulakan" perbalahan dan sama ada sedar atau tidak sebagai "provokasi" untuk menjatuhkan dan memburuk-burukkan orang lain. Kepada Allah jua ana berserah. Dia jua Yang Maha Mengetahui "maksud" setiap bicara dan tindakan ana. Moga Allah menunjukkan mana yang haq mana yang bathil... Ampun maaf dunia akhirat atas keterlanjuran bicara. Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda (maksudnya):

إن فى الجسد ابن ءادم مضغة إذا صلحت صلح لها سآئر جسده وإذا فسدت فسد لها سآئر جسده ألآ وهى القلب
"Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada segumpal daging. Apabila daging itu baik maka baiklah seluruh jasadnya, apabila daging itu rosak maka akan rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah...! Dia adalah hati...!

Ana al-faaqiroh wad-dhoifah ilallaah

5 comments:

  1. "Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Al-Anfaal 8:74)

    Salam ziarah dari saya,,blog yang menarik ,jemput muzakarah di blog saya....dan jadikan blog saya sebagai rakan anda..tq

    ReplyDelete
  2. syukran coz sudi ziarah blog ana yg x sberapa ni...

    Moga sama2 kita beroleh manfaat dan keberkatan di sisi Allah. insha'Allah. Aameen

    Laa hawla wa laa quwwata illaa biLlaahil 'aliyil 'azhim

    ReplyDelete
  3. tahniah..... memberi motivasi pada diri ana...

    ReplyDelete
  4. masha' Allah. laa hawla wa laa quwwata illaa biLlaahil 'aliyil 'azhim.

    syukran sudi membaca artikel ini. smoga bermanfaat utk kita bersama.

    ReplyDelete