Thursday, March 26, 2009

TUNDUKKAN NAFSUMU SEBELUM DIRI DITUNDUKKANNYA...

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji-pujian kembali kepada Allah. Dia Menciptakan 'alam ini tanpa bantuan sesiapa. Dia yang menciptakan pendengaran, penglihatan dan hati dan Dia jua yang menyatukan kembali hati-hati manusia. Dia menguasai hati hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat Nabi junjungan yang kita muliakan yang kita rindui, dan juga buat ahli keluarga baginda, sahabat baginda, para pejuang dan pencari kebenaran hingga hari qiamat kelak.

Muslimin muslimat yang ana hormati kerana Allah...
Mungkin, seringkali kita tertanya-tanya pada diri kita... siapa kita pada pandangan Allah? Hinakah kita? muliakah kita? Adakah darjat kita tinggi di sisi Allah atau rendah? Adakah kita penyampai kebenaran? atau penyembunyi kebenaran? atau kita tak tahu mana satu yang benar? atau kita tak tahu pun yang kita tak tahu apa-apa tentang kebenaran? dan lebih parah lagi kita tak tahu bahawa kita tak tahu?


Siapa pun kita... apa pun kedudukan kita... apa pun jawatan kita... apa pun parti politik dan persatuan yang kita ikuti... marilah kita kembali ke jalan Allah... marilah kita berlapang dada... Marilah kita mencari jalan untuk bersatu menentang kebatilan... Marilah kita menyampaikan kebenaran kerana Allah. Agar da'wah Islam tersebar luas dalam keadaan masyarakat memahami 'aqeedah dengan kefahaman yang sebenar... Kerana hanya dengan kesatuan dan kefahaman 'aqeedah yang benar kita mampu menjadi umat yang menggentarkan orang-orang kafir...dan melahirkan ummah yang gemilang. Marilah kita mengamalkan sikap bertanya kerana ingin mencari kebenaran tapi bukan untuk dijadikan perbalahan... Sheikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki pernah berkata "Kebenaran itu memang patut diikuti..."


Mutakhir ini, kita lihat umat Islam sesama sendiri hentam-menghentam kerana bangsa, kerana itu kerana ini... dan kebanyakannya kerana dunia yang akan binasa... sehinggakan kita terlepas pandang, mungkin kata-kata yang kita lemparkan menyebabkan kata-kata itu kembali kepada diri sendiri... bahkan boleh mengganggu gugat keimanan dan keyakinan kita kepada Allah... dan mengganggu gugat keimanan orang lain bahkan melemahkan semangat perjuangan orang lain... Na'uuzubiLlaahi min zalik...

Sahabat-sahabat yang ana kasihi pada jalan Allah...
Terlalu payah untuk ana bangkit semula... terlalu sukar untuk menyuburkan semula semangat perjuangan yang ada dalam diri ana semenjak ana mengenali keindahan Islam... macam-macam tohmahan yang ana terima yang melemahkan semangat ana... dalam kepayahan ini, ana berusaha untuk menulis artikel moga menjadi peringatan buat diri ana yang sering alpa dan sekalian pembaca (yang ana hormati kerana Allah) untuk kembali menyusuri jalan da'wah jalan para anbiya', jalan para 'ulama', jalan para syuhada', jalan golongan muqarrobin yang sentiasa istiqomah di jalan da'wah ilaLlaah...

Telah berkata Al-Sayyid Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani di Madrasah al-Ma'murah, pada hari Ahad pagi bersamaan 3 Syawal 545 H.
"Berpaling daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala ketika turunnya hukum-hukumNya bererti mati agama, binasanya tauhid, musnahnya keredhaan dan keikhlasan. Sedangkan hati orang mukmin tidak mengetahui, mengapa dan bagaimana hendak melayan dorongan nafsunya. Bahkan ia berkata: "Benar...! Semua nafsu itu mesti dilawan, ditentang, dan dimusuhi." Oleh itu, barangsiapa yang ingin memperbaiki dirinya, maka hendaklah berlatih untuk memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada cengkaman kejahatan dan pengaruh nafsu, kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada kejahatan"

Nafsu untuk berehat-rehat dari medan da'wah, pemikiran yang dikuasai dengan bermacam-macam perkara sehingga kita menjauhkan diri dari kerja-kerja da'wah, maka itu tandanya kita dah mendengar bujukan syaithan yang mana akhirnya mereka (syaithan) sangat gembira kerana telah berundurnya seorang lagi penyampai kebenaran. Itulah yang dikehendaki syaithan laknatulah. Janganlah takut untuk menyampaikan kebenaran. Benarlah kata-kata seorang sahabat ana yang menghantar SMS pada ana sedang ana menyiapkan artikel ini:
"KEMURKAAN ALLAH LEBIH PERLU UNTUK DIGERUNI... REDHO ALLAH LEBIH UTAMA UNTUK DIDAMBAI DAN KEAMPUNAN ALLAH LEBIH DARI SEGALANYA UNTUK DITAGIHI" (26.Mac.09, 11.43 pm)

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Maksudnya:
"Wahai jiwa yang tenang...! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh reda dan diredhai-Nya Maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku"
(Al-Fajr: 27-30)
Wahai para penda'wah yang ana hormati dan kasihi kerana Allah...
Marilah kita bersama melawan nafsu kita yang mahu mengambil jalan ber'uzlah tanpa menjalankan kerja-kerja da'wah... Ujian yang datang silih berganti itu tandanya ALlah masih menyayangi kita. Kita dipilih untuk mendapat ujian. Itu tandanya kita sedang dalam pemerhatian Allah. Moga kita sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah yang diaturkan, dalam setiap tutur bicara yang kita ucapkan dan dalam setiap tingkah laku yang kita lakukan...(Sedang ana mengedit artikel ini, sahabat yang ana kasihi pada jalan Allah telah menghantar SMS: "Yakin Allah bukanlah mengharap terkabulnya segala harapan, yakin pada Allah bukanlah keindahan nikmat, yakin pada Allah adalah meletakkan keREDHAan pada ketentuan-Nya, rasa bahagia dengan ujian walaupun perit, di situ air mata yang menitis terasa bernilai buat menyiram api neraka , indahnya tarbiyah Allah tersirat rahmat & hikmah, di uji sebagai tanda sayang-Nya" (Nik Fillah, 11.57 pm, 26.Mac.09) (Macam tau2 jek (T_T)

Muslimin muslimat yang ana hormati pada jalan Allah...
Marilah kita tinggalkanlah kehidupan duniawi yang melalaikan hati kita mengingati Allah. Ambillah dunia seadanya dan jangan jadikan ia sebagai keutamaan. Kegembiraan yang kita cari di dunia melalui hiburan dan pesta-pesta terasa nikmat untuk sementara waktu, sedangkan roh kita merintih merayu untuk diberi "makanan"...



Apabila kita mampu menggembleng dan menundukkan nafsu kita sendiri, maka seluruh nafsu itu akan menjadi baik... KEBAIKAN YANG BERADA DALAM KEBAIKAN. Sehingga jadilah ia mengikuti semua ketaatan dan meninggalkan semua kejahatan dan kedurhakaan.

Jiwa yang tenang kesan mengembalikan segala-galanya kepada Allah membentuk jiwa yang penuh ketaqwaan dan hilang daripada segala keburukan, serta tiada ketergantungan kepada makhluq. Hal ini telah berlaku kepada Nabi Ibrahim Khalilullah, baginda telah terlepas daripada kongkongan nafsunya dan baginda hidup dengan tenang, bebas daripada pengaruh nafsu yang sentiasa mendorong manusia kepada melakukan kejahatan.

Ketika jiwa tenang, maka akan datang pelbagai jenis makhluq yang menawarkan bantuan. Ketika itu baginda menjawab:
"Aku tidak memerlukan pertolongan kamu sekalian. Dia (Allah) mengetahui keadaanku dan memenuhi segala permohonanku"

Kerana penyerahan dan ketaqwaan baginda yang tidak berbelah bagi itu, maka ALlah berfirman kepada api, katanya:
"Berkata Kami, Wahai api...! Jadi dinginlah engkau dan selamat ke atas Ibrahim...!"

Allah memberi pertolongan kepada orang yang sabar bersama-Nya di dunia tanpa batas, sementara di akhirat pula ia akan dianugerahi kenikmatan tanpa batas, sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Maksudnya:
"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas".
(al-Zumar: 10)

Tiadalah samar bagi Allah segala sesuatu yang ditanggung oleh orang-orang yang menanggung kerana-Nya, sementara kita telah melihat sifat Pengasih dan Penyayangnya Allah dan Dia telah memberi kenikmatan-Nya bertahun-tahun kepada kita, pendek kata sebelum sepanjang hayat kita. Kesabaran adalah satu nikmat daripada Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
(Al-Baqarah, ayat 153)

Dengan pertolongan dan harapan, marilah kita bersabar bersama-Nya. Ingatlah kepada-Nya dan janganlah kita lalai daripada mengingati-Nya. Janganlah kita sedar sesudah mati, kerana kesedaran ketika itu sudah tidak bermanfaat lagi bagi kita. Tetapi ingatlah kepada Allah sebelum datangnya kematian.


Pesanan NabiyuLlaah Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam:
"Ingat perkara 5 perkara sebelum datang 5 perkara; masa muda mu sebelum masa tua mu, masa sihatmu sebelum masa sakit, masa lapangmu sebelum masa sibuk, masa berada (kayamu) sebelum jatuh miskin, dan masa hidupmu sebelum mati"

Telah berkata Syeikh 'Abdul Qadir Al-Jailani:
"Ingatlah kamu sebelum kamu diberi peringatan, bahawa sudah tiada lagi perintah bagi kamu. Perbaikilah hati kamu, kerana apabila hati itu sudah baik, maka akan baik pulalah seluruh keadaanmu. "

Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda (maksudnya):
إن فى الجسد ابن ءادم مضغة إذا صلحت صلح لها سآئر جسده وإذا فسدت فسد لها سآئر جسده ألآ وهى القلب
"Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada segumpal daging. Apabila daging itu baik maka baiklah seluruh jasadnya, apabila daging itu rosak maka akan rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah...! Dia adalah hati...!

Apepun, artikel ini sebagai peringatan buat diri ana yang seringkali alpa.Ana mohon maaf dunia akhirat zahir bathin, andai tutur bicara ana mengguris hati mana-mana pihak. Lihatlah sesuatu itu dengan mata hati... bukan dengan mata zahir semata-mata... nilailah sesuatu itu maksud yang tersirat disebalik yang tersurat.


P/s: Sumber rujukan Al-Quranul karim, hadith sohih, dan kitab Fathur Rabbani , Syeikh Abdul Qadir Jailani

Daripada Tsauban radiyaLlaahu 'anhu berkata: RasuluLlaah SolaLlaahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Hampir akan tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka"

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SollaLlaahu 'alaihi wa sallam menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih air pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan campakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan' " . Seorang sahabat bertanya "Apakah 'wahan' itu hai RasuluLlah?" Nabi menjawab, "cinta pada dunia dan takut pada mati"
(Hadith Riwayat Abu Daud)

Walau macam mana pun bentuk ujian yang dihadapi, marilah kita bersabar... Insha'Allah dengan izin ALlaah ujian itu datang dan dengan izin-Nya jua ujian itu mampu diselesaikan dengan baik. Marilah kita mnyerahkan kembali kepada ALlaah Yang Maha Mengetahui, Maha Penyayang lagi Maha Mendengar. Marilah kita merintih dan munajat kepada ALlaah 'Azza wa Jalla atas segala apa yang kita hadapi.

Firman ALlaah 'Azza Wa Jalla dalam surah Al-Baqarah ayat 153, yang bermaksud

"Hai orang-orang beriman. jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya ALlaah beserta orang-orang yang sabar"

Firman ALlaah 'Azza Wa Jalla dalam surah Muhammad, ayat 7:
"Wahai orang-orang beriman. Jika kamu membantu (agama) ALlaah nescaya Dia akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukan kamu"

Apapun keadaan kita, istiqomahlah dan teguhkanlah pendirian dalam soff yang memperjuangkan Islam. Soff yang menegakkan 'aqeedah yang benar...Ahlissunnah wal jama'ah.


Sekian dulu, akhir kalam... ingatilah kata-kata Al-marhum Prof.Hamka "Disaat engkau dilahirkan, engkau menangis dan orang lain tersenyum. BERJUANGLAH! agar disaat engkau menghembuskan nafas terakhir, engkau tersenyum dan orang lain menangis"

2 comments:

  1. terima kasih ats peringatan yg ikhlas ini..
    moga kita semua memperolehi keredhaan-Nya..
    insyaAllah..

    ReplyDelete
  2. Kebenaran diakhir zaman ibarat mencari mutiara... ramai yang tak nampak tu sebabnya kebenaran itu mahal harganya..hanya yang ikhlas mencari dengan pimpinan Taufiq serta HidayahNya... ketemu kebenaran..

    ReplyDelete