Tuesday, January 20, 2009

UKHUWWAH PADA JALAN ALLAAH



Dengan Nama ALlaah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. AlhamduliLlaah Tuhan sekalian 'alam. Tuhan Yang Mana Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang melimpahkan rahmat-Nya kepada hamba-hamba pilihan-Nya. Yang menjinakkan hati-hati manusia dengan kasih-sayang di antara mereka, lalu jadilah mereka bersaudara dengan kenikmatan-Nya. Yag mencabut kedengkian daripada mereka, lalu sentiasalah mereka itu di dunia dan di akhirat menjadi sahabat dan teman. Selawat dan salam buat Nabi junjungan Nabi Muhammad sollaLlaahu 'alaihi wa sallam, ahli keluarga badinda, para sahabat baginda. Dan bagi kita semua semoga berada dalam golongan sebaik-baik umat, yang menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar, dan mencintai ALLaah dan Rasul-Nya serta menjadi penerus perjuangan menyampaikan agama Islam. ALlaahumma aameen.

Firman ALlaah subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:
"(Pada hari qiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa"

Pembentukkan ukhuwwah FiLlaah (pada jalan ALlaah) ini sebenarnya telah dimulakan oleh Nabi Muhammad sollaLlaahu 'alaihi wa sallam dengan para sahabat baginda RadhiyaLlahu 'anhum. Dalam peristiwa hijrah Baginda telah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin (orang Islam yang berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah) dan Ansor (penduduk Madinah yang sudah memeluk Islam dan turut membantu kaum Muhajirin). Mereka saling tolong-menolong dalam semua perkara. Dengan demikian diharapakan setiap Muslim merasa terikat dalam satu persaudaraan dan kekeluargaan. Apa yang dilakukan oleh RasuluLlaah sollaLlaahu 'alaihi wa sallam adalah menciptakan suatu persaudaraan baru iaitu persaudaraan yang menggantikan persaudaraan berdasarkan darah keturunan.



HAKIKAT UKHUWWAH ISLAMIYYAH

Persaudaraan Islam ialah tautan ikatan hati-hati dan ruh-ruh dengan ikatan 'aqeedah kerana ikatan 'aqeedah itu merupaan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.

Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad sollaLlaahu 'alaihi wa sallam yang bemaksud:

"Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana ALlaah dan marah kerana ALlaah"
[Hadith diriwayatkan Ahmad daripada al-Bara' Ibn Azib]

Hakikatnya asas persaudaraan dan persahabatan dalam Islam ialah berpegang teguh kepada hukum-hukum ALlaah 'Azza wa Jalla dan ini terangkum dalam
1. 'Aqeedah - dari 'ilmu tauhid yang membawa kepada maksud takutkan ALlaah, mengesakan ALlaah dan mentauhidkan ALlaah
2. Syari'at - dari ilmu Feqah yang membawa maksud melaksanakan peraturan-peraturan ALlaah
3. Akhlaq - dari sudut pandangan 'ilmu Tasawwuf ialah menghapuskan mazmumah dan memasukkan mahmudah.

Melalui penghayatan ketiga-tiga ilmu ini, insha'ALlaah akan lahirlah ukhuwwah yang harmoni yang disuburkan dengan keikhlasan, kejujuran, kesetiaan dan kasih sayang disamping disuburkan dengan benih ukhuwwah FiLlaah. Keimanan dan ketaqwaan yang terpasak kukuh di dada menyemarakkan lagi kasih sayang sesama insan yang menjalinkan persahabatan kerana ALlaah. Persahabatan yang benar itu tidak lain tidak bukan bermatlamatkan mencari mardhotiLlaah untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Abu Hurairah radhiyaLlaahu 'anhu telah meriwayatkan bahawa RasuluLlaah sollaLlaahu 'alaihi wa sallam
telah bersabda:

"Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan'arasy-Nya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripada-Nya. Pemimpin yang adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada ALlaah Subhanahu wa Ta'ala; seorang yang hatinya terpaut pada masjid; dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana ALlaah; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan "Aku takutkan ALlaah Subhanu wa Ta'ala"; seseorang yang bersedeqah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorag yang mengingati ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana ALlaah Subhanahu wa Ta'ala" (Hadith Riwayat Muslim)

Mutakhir ini memang sukar untuk mendapatkan sahabat yang sejati, yang saling faham-memahami, yang selalu berada di sisi ketika dirinya diperlukan. Pendek kata, susah senang dan suka duka diharungi bersama. Bertuahlah sesiapa yang mendapat sahabat yang sedemikian. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam yang bermaksud:
"Sesiapa yang dikehendaki Allaah mendapat kebaikan, ALlaah akan memberikannya rezeki sahabat yang soleh. Kalau ia lupa maka sahabat itu yang akan memperingatinya dan apabila sahabatnya itu memperingatkannya beliau akan menolongnya"

Dalam hal ini juga Saiyidina 'Umar al-Khattab pernah mengingatkan dengan kata-katanya: "Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesukaran"

Jika kita tidak memiliki sahabat yang bersifat sedemikian, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik diri kita agar menjadi sahabat yang soleh/hah yang merupakan idaman orang-orang beriman.


Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah berwasiat: "Jadikan dirimu dengan manusia seperti pokok buah-buahan, mereka melontarkan batu kepadanya tetapi sebaliknya pokok itu melontarkan buah-buahan kepada manusia"


P/s:
Kullu man tusohhib fas alhu "man anta?"
Artikel ini adalah ringkasan handout yang ditulis oleh tuan blog (nurjannah saifullah) untuk beberapa siri ceramahnya yang telah diadakan di beberapa tempat di sekitar Sabah. Mohon sebarang teguran yang membina dari pembaca sekalian atas segala kesilapan sama ada disedari mahupun tidak. SYUKRAN JAZIILAN. Ana insan biasa yg tak lepas daripada melakukan kesilapan. Min ana al-faqiroh wad-dhoifah ila Robbihi

No comments:

Post a Comment