Friday, May 29, 2009

KEPENTINGAN MENJAGA 'ADAB DALAM MENUNTUT 'ILMU

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه أجمعين


Artikel ini ana perolehi dari seorang teman seperjuangan (
Sumber: http://pondokhabib.wordpress.com/2009/05/29/kepentingan-adab-dalam-menuntut-ilmu/). Artikel ini ana edit sedikit dengan beberapa tambahan ayat, dalil dan ilustrasi (",)

Alhamdulillah, dengan taufiq Allah selesai pembacaan kitab Ta’limul Muta’allim semalam di Shoubra. Moga sama-sama yang mengajar dan yang belajar dapat faedah.

Pada permulaan kitab ini, Assyaikh Burhanul Islam Azzarnuji telah menulis:

“Maka apabila aku melihat ramai penuntut ilmu pada zaman kita ini bersungguh-sungguh kepada ilmu, dan mereka tidak sampai pula (tidak mendapat manfaat dan hasilnya iaitu beramal dan menyebarkannya), terhalang kerana bahawasanya mereka telah salah jalannya dan meninggalkan syarat-syaratnya. Dan setiap yang tersalah jalan akan sesat, dan tidak mendapati tujuan, sedikit mahupun banyak. Maka aku ingin dan suka menerangkan kepada mereka jalan menuntut ilmu….”

Seterusnya Assyaikh Azzarnuji pun menyebutkan adab-adab atau jalan-jalan menuntut ilmu daripada niat menuntut ilmu itu sendiri hinggalah kepada memilih guru dan rakan-rakan, pentingnya mengagungkan ilmu dan ulamak, warak dan pelbagai lagi jalan yang sebenar dalam menuntut ilmu.

Saya sebutkan perkara di atas apabila mendapati pada zaman kita hari ini, terlalu banyak (dan tentu lebih banyak lagi dari zaman Imam Zarnuji hampir 10 abad yang lalu) di kalangan kita yang mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi tidak mendapat faedah daripada ilmunya, baik untuk dirinya sendiri mahupun untuk masyarakat. Malah hari ini ramai yang bukan dari aliran agama pun ingin belajar ilmu agama. Sangat baik. Tetapi mengapa tidak didapati barakahnya?

Antara sebabnya adalah “tersalah jalan” itu sendiri. Adab menuntut ilmu sudah terlalu jauh untuk diamalkan. Ingatlah menuntut ilmu agama ini bukanlah dengan mengumpul dan menghadam maklumat di otak kita sahaja. Saya selalu sebutkan, jika demikianlah, maka harddisk saya jauh lebih alim dari kita semua. Di dalamnya mengandungi hampir 100 Gigabyte maklumat dari jutaan helaian kitab. Kita, berapa helai sangat dapat menghafal?

Salah jalan ini biasanya berlaku pada perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Syaikh Azzarnuji itu sendiri. Saya sebutkan tiga daripadanya:

1) Niat

Bagi mereka yang belajar agama, perkara pertama yang terpenting ialah IKHLAS kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala. Barangsiapa yang mencari ilmu agama yang sepatutnya untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala tetapi dibuat bukan kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan mencium bau syurga. Mereka ini diumpamakan seperti anjing, lidah mereka akan sentiasa terjulur...

- Berapa ramai di kalangan kita belajar kerana mudah bekerja dan mengumpul harta dunia nanti dengan sekeping pengiktirafan ijazah?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menunjukkan diri lebih alim daripada orang lain?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menjadikan dirinya dipuji dan dihormati?
- Berapa ramai pula di kalangan kita yang belajar untuk mencari-cari kesalahan ulamak terdahulu?
- Berapa ramai yang belajar untuk mencari bukti bahawa pendapat aku sahaja yang betul sedangkan amalan ummat Islam di Malaysia sebenarnya salah belaka?
- Berapa ramai pula menutut ilmu tanpa diniatkan langsung untuk balik ke tempat masing-masing bagi berjuang menegakkan Islam?

2) Memilih guru

(Tok Guruku, al-mu'allim muhtaram fii sabiliLlaah Ustaz Hj.Dzulkifli Bin Hj Ismail al-Hadhrami Ghafarullaahulahu bersama Al-Habib Zainal 'Abidin)

Kata-kata ustaz kepada anak murid pondoknya : “Setiap anak murid ustaz selepas habis tempoh pengajiannya mesti berjuang kerana ISLAM , jangan balik nanti bekerja untuk memenuhkan perut sendiri"

Sahabat-sahabat muslimin muslimat yang dihormati kerana Allah...

- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak berhati-hati memilih guru lantas belajar dengan orang yang tidak betul pemikirannya?

- Berapa ramai di kalangan kita yang belajar dengan guru yang tidak menjaga adab sebagai guru (mengutuk sana sini, mencerca alim ulamak, tidak berakhlak dalam kata-kata mahupun perbuatan dsb.)?

- Berapa ramai di kalangan kita belajar sesuatu ilmu bukan dari ahlinya (belajar Feqh dari jurutera, belajar hadis dari ahli bahasa dsb.)?
-Lebih teruk lagi, berapa ramai pula yang belajar tanpa guru? Membaca sana dan sini, lalu mengambil fahaman sendiri daripada penulisan ulamak.

3) Mengagungkan 'ilmu dan 'ulama'

Sabda Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam (maksudnya):
"Hormatilah Ulama', kerana mereka di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah pilihan-pilihan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang diberikan kemuliaan."

- Berapa ramai dari kita yang mengetahui cara mengagungkan ilmu yang disebutkan oleh para ulamak terdahulu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak menghormati kitab ilmu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang meletakkan ilmunya sendiri di tempat yang rendah, lalu dengan mudah boleh dijual beli dengan kepentingan dunia?
- Berapa ramai pula yang tahu adab sebagai seorang murid tetapi tidak tahu atau tidak mempraktikkan ada sebagai guru?
- Berapa ramai yang tidak pula tahu membezakan antara meletakkan ilmu di tempat yang tinggi dengan takabbur atau menghina diri?
- Berapa ramai pula tidak reti-reti beradab dengan para ulamak agung, lalu diletakkan ulamak itu setaraf dengannya dalam pemikiran dan pemahaman dengan alasan mereka jua manusia yang tidak maksum?
- Berapa ramai di kalangan kita yang terpengaruh dengan kalam beberapa kerat ustaz mee celup hari ini yang dengan lantang mengkritik ulamak silam, lalu merasa sangsi dengan para ulamak itu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang bermulut celupar mengutuk deretan ulamak yang sudah lama mengorbankan diri untuk perjuangan Islam?
- Berapa ramai pula yang bermulut celupar terhadap para ulamak terdahulu dan dengan sesedap hati mengatakan ulamak terdahulu sesat, melakukan bid’ah, berfalsampah dalam bab 'aqeedah, dan pelbagai lagi kata nista?

Apabila kita nilai semula semua persoalan di atas, tentu sekali kita akan menjawab, “terlalu banyak.” Maka tidak hairanlah apabila kita dapati terlalu banyak orang yang ingin mendalami ilmu agama, akan tetapi jauh tersasar dari kebenaran, barakah tiada, manfaat juga sirna, lalu tidak dapat menegakkan yang haq.

Jelaslah pada kita betapa pentingnya adab dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Tiada adab, nescaya tersalah jalanlah kita. Salah jalan bermakna sesat. Kalau orang yang belajar agama pun boleh sesat, bagaimana pula dengan yang tidak mahukan agama kan…

Penulis : Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

p/s:

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah... Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menyusuri jalan untuk menuntut 'ilmu, Allah akan susurkan pula baginya jalanya ke syurga,dan sesungguhnya para malaikat akan menghamparkan sayap-sayapnya kepada mereka kerana redha kepada penuntut ilmu itu dan segala yang ada di langit dan di bumi akan memohon ampun untuk orang yang berilmu,sehinggakan ikan yang berada di laut pun akan memohon ampun untuk mereka,dan keutamaan antara orang yang berilmu dengan seorang ahli ibadah itu bagaikan sinar rembulan yang lebih menerangi daripada sekelian bebintang,dan para ulamak itu adalah pewaris para nabi,dan para nabi itu tidaklah mereka mewariskan wang emas walau wang perak,sesungguhnya mereka mewariskan ilmu,barangsiapa yang mengambilnya,maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak”

(diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi bernombor 2682 dan telah disahihkan oleh As-Syeikh Nasaruddin Al-Banni rahimahullahu taala pada sahih At-Tirmizi bernombor 2159)

Kepada adik-adik kampus dan sekalian muslimin muslimat yang dirahmati ALlah... sekarang ni tengah bercuti kan? manfaatkanlah masa ini untuk menuntut 'ilmu di gedung 'ilmu.

Telah bersabda Nabi Muhammad sollaLlaahu 'alaihi wa sallam:

أطلب العلم من المهد إلى اللحد
"Tuntutlah 'ilmu dari semenjak lahir hinggalah ke liang lahad"

Berusahalah mencari guru yang mursyid. Pelajarilah kitab secara bertalaqqi dengan mereka. Hargai mereka, jaga 'adab-'adab ketika menuntut 'ilmu, jaga 'adab-'adab ketika berguru...

Telah bersabda Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam yang bermaksud:

"Sesiapa memuliakan orang ber'ilmu maka sesungguhnya dia telah memuliakan aku, sesiapa memuliakanku maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan sesiapa memuliakan Allah Subhanahu wa Ta'ala maka tempatnya adalah di Syurga."

"Sesiapa menziarahi orang ber'ilmu seolah-olah dia menziarahiku, sesiapa berjabat tangan dengan orang ber'ilmu seolah-olah dia berjabat tangan denganku, sesiapa duduk bersama orang berilmu seolah-olah dia duduk bersamaku semasa di dunia, dan sesiapa yang duduk bersamaku semasa di dunia, aku memberi peluang untuk duduk bersamaku pada hari kiamat."

Jemput baca (moga bermanfaat buat kita semua):

http://al-syahidah.blogspot.com/2009/04/muliakan-gurumu-apatah-lagi-yang.html

http://al-syahidah.blogspot.com/2009/01/tuntulah-ilmu-ya-talib-al-haq.html

http://al-syahidah.blogspot.com/2009/04/buat-para-pencinta-ilmu-please-read.html

http://al-syahidah.blogspot.com/2009/02/kelebihan-mengetahui-memahami-ilmu.html

SUMBER:
* Pesanan Tok Guru ana (",)
* Ta'limul Muta'allim Fii Toriqut Ta'lim,
Al Alamah As-Syeikh Azzarnuji
* 21 Rahsia Mendapat Keberkatan 'Ilmu, Ustaz Mohd Kamal Bin Mohd Said

* http://pondokhabib.wordpress.com/2009/05/29/kepentingan-adab-dalam-menuntut-ilmu/
* http://baitul-qurra.blogspot.com/

Mohon maaf dunia akhirat atas keterlanjuran bicara. Ana al-faqiroh wad-dhoifah ilaLlaah

Video berikut adalah sebagai perkongsian tentang suasana sambutan MaulidurRasul Di Pondok Baitul Qurro' Melaka pada 8 March 2009, bersamaan 12 rabiualwal, MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL telah diadakan di Baitul Qurra. Majlis ini telah dihadiri oleh para habaib seperti HABIB KASIM IBN JA'FAR IBN MUHAMMAD as-Saqqaf al-Hadrami al-Husaini yang telah datang dari Hadramaut Yemen, Habib Ali Zain dan HABIB Najmudin. Majlis ini telah dihadiri oleh ramai tetamu dan mendapat sambutan yang amat baik. Alhamdulillah, segala puji pujian hanya bagi ALLAH yang telah memgizinkan Majlis ini berjalan dengan lancar dan Baik.

2 comments:

  1. salam kak, mahu tanya..sy pernah terdengar.
    betul ke kalau kita baca buku tanpa berguru maksudnya kita baca dengan syaitan..?

    ReplyDelete
  2. kepada Allah aku bermohon, moga jiwaku, hati ku mendpt bimbingan dari guru...aku bersyukur dengan guru yang telah hadir dalam hidupku...Allah lebih mengetahui akan hambanya...kepada Allah aku serahkan segalanya...

    ReplyDelete