Wednesday, July 22, 2009

MI'RAJ DAN SYUBHAH TEMPAT BAGI ALLAH

Bercerita tentang mi'raj Junjungan Nabi SAW, maka kerap-kali berlaku salahfaham pada segelintir masyarakat, di mana sesetengah "pendakwah" menggunakan peristiwa ini sebagai hujjah bahawa Allah ta'ala itu bertempat dan berarah, subhanAllah. Sedangkan mi'raj itu adalah sesuatu yang dialami oleh seorang hambaNya yang paling utama, Junjungan Nabi SAW, yang bermi'raj itu adalah baginda, Allah adalah yang memi'rajkan baginda. Maka yang bertempat dan yang mengambil tempat itu adalah hamba, dan sekali-kali bukan Allah SWT yang mengambil tempat. Di sinilah kita kena membezakan isyarat kepada makanah (darjat kedudukan) dan kepada makan (tempat).

Jika dikatakan tatkala Junjungan Nabi naik ke langit, maka kedudukan baginda menjadi lebih hampir kepada Tuhan, maka persoalannya ialah adakah dengan keberadaan baginda di bumi setelah mi'raj itu menjadikan baginda berada lebih jauh dari Tuhan? Sudah tentu tidak, kerana wujudnya Allah tidak bertempat, tidak berjarak, tidak berarah, wujudnya Allah berbeza dan menyalahi segala yang baharu.

Sama juga dengan keadaannya jika dibuat perbandingan dengan peristiwa Nabi Yunus AS yang ditelan ikan dan dibawa ke dasar lautan. Jika Tuhan itu bertempat di langit, maka adakah dengan beradanya Nabi Yunus di dasar lautan itu baginda berada jauh dari Tuhan? Sungguh Allah sentiasa dekat dengan hamba-hambaNya yang sholeh dengan rahmatNya dan kasih-sayangNya. Juga dekat dengan hamba-hambaNya yang derhaka dengan kemurkaan dan seksaanNya.

Prof. Dr.a-Muhaddits Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas bin 'Abdul 'Aziz al-Maliki Al-Hasani Rahimahumullah

Prof. Dr. al-Muhaddits Habib Muhammad bin `Alawi bin `Abbas bin `Abdul `Aziz al-Maliki al-Hasani rahimahumUllah, adalah antara ulama yang memperjelaskan waham yang ditimbulkan oleh puak yang menempatkan Allah di sesuatu tempat, subhanAllah. Dalam karya beliau yang berjodol "Wa Huwa bil Ufuqil A'laa", beliau rahimahUllah menyatakan sebagai berikut:-
Tidak sepatutnya seseorang muslim yang mendengar kisah mi'raj mengenai naik dan turunnya Junjungan Nabi SAW ke langit, untuk menyangka bahawa antara hamba dan TuhanNya terdapat jarak yang tertentu yang dapat dijangkau, kerana sangkaan yang sedemikian adalah suatu kekufuran, yang mana kita berlindung dengan Allah daripadanya. Bahawasanya naik dan turun ini hanya dinisbahkan kepada hamba (yakni Junjungan Nabi SAW) dan bukannya kepada Tuhan.

Meskipun Junjungan Nabi SAW pada malam isra' tersebut berkesudahan dengan mencapai jarak kedudukan seumpama dua anak panah atau lebih hampir lagi, tetap baginda tidak melepasi maqam / kedudukan seorang hamba.
Dan keadaan baginda dengan Nabi Yunus bin Matta AS ketika ditelan ikan serta dibawanya ke lautan lepas sehingga ke dasar lautan adalah sama, dalam hal ketiadaan jarak bagi Allah dengan ciptaanNya, ketiadaan arah, ketiadaan mengambil tempat, ketiadaan had pembatas, dan ketiadaan dapat dijangkau (yakni bukanlah artinya bila Junjungan Nabi SAW mi'raj ke atas maka baginda lebih hampir kepada Tuhan berbanding Nabi Yunus yang dibawa ikan ke dasar lautan dari segi tempat dan jarak - satu di atas dan satu di bawah - kerana Allah tidak bertempat sehingga boleh didekati atau dihampiri dengan diputuskan jarak yang tertentu.)

Dan telah dikatakan oleh segelintir ulama, bahawa ikan tersebut telah membawa Nabi Yunus sejauh perjalanan 6,000 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Baghawi dan selainnya.
Apabila telah engkau ketahui yang sedemikian, maka yang dikehendaki dengan naiknya Junjungan Nabi SAW dan menempuhnya baginda jarak yang jauh tersebut adalah untuk menzahirkan / menyatakan kedudukan baginda kepada penghuni langit dan menyatakan bahawasanya bagindalah makhluk Allah yang paling utama. Pengertian ini diperkuatkan lagi dengan dijadikan buraq sebagai tunggangan baginda, lalu dihubungkan bagi baginda akan mi'raj (alat untuk naik ke langit), dijadikan baginda imam bagi para nabi dan malaikat, sedangkan Allah ta'ala berkuasa untuk mengangkat baginda tanpa buraq dan mi'raj.
Maka diisra` dan dimi`rajkan Junjungan Nabi SAW dengan menggunakan makhluk seperti buraq dan mi'raj adalah untuk menzahirkan kemuliaan dan ketinggian baginda di antara sekalian makhluk. Inilah hakikat sebenar mi'raj Junjungan SAW ke langit, agar dipersaksikan kepada segala penghuni langit akan darjat ketinggiannya penghulu sekalian makhluk. Tidaklah ia menunjukkan Allah berada di sesuatu tempat, Maha Suci Allah daripada mengambil faedah dari makhlukNya dan Maha Suci Ia daripada mengambil bagi lapang.
ِ

http://bahrusshofa.blogspot.com/2009/07/miraj-syubhah-tempat-bagi-allah.html
**********************************************
الله موجود بلا مكان

No comments:

Post a Comment