Tuesday, January 27, 2009

TUNTUTLAH ILMU YA TOLIB AL-HAQ


Menuntut ilmu menjadi kefardhuan yakni kemestian bagi seorang insan. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak mampu membezakan mana satu yang baik, mana satu yang buruk, mana satu yang haq, mana satu yang bathil. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: Menuntut ilmu(yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim
(Diriwayat oleh al-Bayhaqi)

Setiap ***mukallaf diwajibkan mempelajari suatu kadar ilmu agama yang dia perlu tahu, ianya terdiri daripada 'aqeedah, bersuci, solat, puasa, zakat bagi orang diwajibkan untuk mengeluarkannya, haji bagi orang yang berkemampuan, maksiat-maksiat hati, tangan, mata dan sebagainya.

ALlaah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:
قُلْ هَلْ يَسْتَوى الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Maknanya: “Katakanlah (wahai Muhammad) tidaklah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui”.
[Surah al-Zumar: 9]

Ilmu sangat penting dalam kehidupan manusia. Dengan ilmu kita dapat meperbetulkan 'aqeedah, akhlaq, dan menyempurnakan segala urusan kita dengan baik. Bahkan dengan ilmu juga, akan mampu menambah keimanan, keyakinan dan ketaqwaan kita kepada ALlaah Subhanahu wa Ta'ala di samping dapat menjauhkan diri kita daripada terjebak dengan amalan-amalan jahiliah dan perbuatan yang mensyirikkan ALlaah.

Telah berkata Imam Syafie RadiyaLlaahu 'anhu:
"Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah berilmu, barangsiapa inginkan akhirat hendaklah berilmu dan barangsiapa inginkan kedua-duanya sekali hendaklah berilmu"

Telah berkata Hujjatul Islam Imam Ghazali di dalam kitab beliau Ihya' 'Ulumuddin, bahawa 'ilmu itu ada dua:
1. 'Ilmu fardhu 'ain: seperti 'ilmu 'aqeedah dan 'ibadah (WAJIB setiap orang Islam mempelajarinya)
2. 'Ilmu fardhu kifayah: seperti 'ilmu kedoktoran dan perniagaan (mesti ada sebahagian umat Islam yang mempelajarinya)

Orang yang berilmu sangat beruntung. Antaranya ialah mendapat kedudukan yang tinggi di sisi ALlaah sebagaimana Firman ALlaah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11, yang bermaksud:
"ALlaah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi 'ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), ALlaah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan"
Ketahuillah saudara-saudaraku! Beruntunglah dan bertuahlah bagi mereka yang diberi kefahaman dalam sesuatu 'ilmu lebih-lebih lagi 'ilmu agama. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:
وَمَن يُرِِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّههُ فِي الدِّينِ
Maksudnya: "Barangsiapa yg Allah kehendaki padanya kebaikan nescaya akan diberikan kebijaksanaan dalam agama"

Sebagai umat Islam, kita perlu berusaha menguasai ilmu dunia dan akhirat untuk menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Tuntutlah apa jua jenis ilmu yang difikirkan mampu membawa kebaikan dengan syarat ilmu fardhu 'ain didahulukan dan dalam keadaan ilmu yang ingin dipelajari itu TIDAK BERSALAHAN DENGAN 'AQEEDAH YANG HAQ.

Akhirul kalam, berusahalah mencari ilmu yang berkat dan bergurulah dengan guru yang thiqqoh yakni guru yang mursyid, yang amanah dengan ilmunya.

WaLlaahu a'lam

No comments:

Post a Comment