Monday, January 26, 2009

ISLAM DAN SEJARAH PENULISAN AL-QUR'AN (Siri 1)


بسم الله الرحمن الرحيم
Islam adalah agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam. ALlaah berfirman di dalam Al-Qur'an yang bermaksud:
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhoi) di sisi ALlaah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab* (tentang agama yang diturunkan ialah Islam) kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka. (Perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kaafir terhadap ayat-ayat ALlaah, maka sesungguhnya ALlaah sangat cepat hisab-Nya"


ASAS AJARAN ISLAM

- Mentauhidkan ALlaah Subhanahu wa Ta'ala

- Nabi-nabi terdahulu juga membawa agama yang sama iaitu ISLAM.

Firman ALlaah Subhana wa Ta'ala dalam surah al-Baqorah, ayat 132 yang bermaksud:
"... dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya ALlaah telah memilih agama ini bagimu. Maka janganlah kamu mati kecuali memeluk agama Islam",

PENULISAN AL-QUR'AN

  • Diturunkan kepada Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 23 tahun ketika Nabi Muhammad berada di Makkah dan di Madinah.
  • Diturunkan dalam Bahasa 'Arab (bahasa 'Arab masih digunakan sehingga kini bukan sahaja oleh masyarakat 'Arab bahkan sebahagian umat Islam yang berkemahiran dan berkesempatan untuk mempelajarinya)
  • Berikut adalah beberapa ayat dalam Al-Qur'anul Karim KalaamuLlaah berkenaan pengiktirafan bahasa 'Arab sebagai bahasa Al-Qur'an
  • "Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Qur'an dengan berbahasa 'Arab agar kamu memahaminya" (Maksud Surah Yusuf, ayat 2)
  • "Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka berkata: "Sesungguhnya Al-Qur'an itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad)" padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahawa) Muhammad belajar kepadanya bahasa 'Ajam. Sedang Al-Qur'an adalah dalam bahasa 'Arab yang terang" (Maksud Surah An-Nahl, ayat 103)
  • Bahasa 'Ajam ialah bahasa selain bahasa 'Arab & dapat juga diertikan sebagai bahasa 'Arab yang tidak baik. Kerana orang yang ditduh mengajar Muhammad itu bukan orang 'Arab & hanya tahu sedikit-sedikit bahasa 'Arab.
  • "Dan demikianlah kami menurunkan Al-Qur'an dalam bahasa 'Arab dan Kami telah menerangkan dengan berulang-ulang kali, di dalamnya sebahagian ancaman, agar mereka bertaqwa atau (agar) Al-Qur'an itu menimbulkan pengajaran bagi mereka" (Surah Toha, ayat 113)
  • Setiap kali ayat Al-Qur'an diturunkan kepada Nabi Muhammad sollaLlaahu 'alaihi wa sallam, baginda akan sentiasa berusaha menghafal ayat-ayat tersebut. Baginda bimbang akan terlupa. Bahkan dalam hal ini, ALlaah Subhanahu wa Ta'ala meyakinkan Nabi bahawa Baginda akan dibantu mengingati ayat-ayat Al-Qur'an melalui firman-Nya yang bermaksud:
"Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Qur'an kerana hendak cepat-cepat (menguasainya).*** Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkan (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila telah Kami selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya"

***Maksudnya: Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam dilarang oleh ALlaah menirukan bacaan Jibril a.s kalimat demi kalimat, sebelum Jibril a.s selesai membacakannya agar dapat Nabi Muhammad menghafal dan memahami betul-betul ayat yang diturunkan itu.
  • Nabi juga terus memanggil para sahabat yang pandai menulis untuk menulis ayat-ayat tersebut. Penulis-penulis wahyu ini bukan seorang bahkan ramai di kalangan sahabat-sahabat Baginda yang menulis Al-Qur'an yang diturunkan. Jumlah penulis wahyu tidak tetap. kadang-kala ramai, kadang-kala sedikit. Pada peringkat awal penurunan Al-Qur'an Nabi Muhammad melarang sebahagian para sahabat menulis perkataan lain yang keluar dari mulut Baginda kerana bimbang percampuran antara Al-Qur'an dan Hadith.
  • Ibnu Kathir menyenaraikan nama penulis-penulis wahyu di dalam kitab Al-Bidayah Wannihayah, di antaranya ialah
  1. Saidina Abu Bakar As-Siddiq
  2. Saidina 'Umar al-Khattab
  3. Saidina 'Ali Bin Abi Tolib
  4. Saidina uthman bin 'Affan
  5. Saidina Zubair bin Awwam
  6. Saidina Zaid bin Thabit
  7. Saidina Muawiyah bin Abi Sufian
  8. Saidina Ubay bin Ka'ab
  9. Saidina Mu'az bin Jabal
  10. Saidina Thabit bin Qais dll...
  • Al-Qur'an yang diturunkan tidak hanya ditulis, bahkan semua para sahabat menghafal ayat-ayat Al-Qur'an dan ayat-ayat dibaca dalam solat sama ada solat berjemaah mahupun solat-solat sunat.
  • Tiba bulan Ramadhan - Sebahagian masjid dan surau melakukan solat sunat Tarawih dengan membaca Al-Qur'an 30 juzuk sepanjang bulan tersebut (1 juzuk 1 malam).
ANTARA METHOD PENJAGAAN AL-QUR'AN
  • Setiap kali datangnya bulan Ramadhan, Malaikat Jibril a.s akan datang menemui Nabi untuk bertadarus, mengulang-kaji Al-Qur'an yang telah diturunkan.
  • Pada tahun terakhir sebelum Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam wafat, Malaikat Jibril datang dan mengulang-kaji Al-Qur'an sebanyak 2 kali sebagai pengukuhan terhadap Al-Qur'an yang telah diturunkan.
  • Ramai para sahabat termasuk Nabi Muhammad SollaLlaahu 'alaihi wa sallam sendiri menghafal semua isi kandungan Al-Qur'an
  • Begitulah penulisan Al-Qur'an di zaman RasuluLlaah SollaLlaahu 'alaihi wa sallam, terpelihara pada tulisan dan hafalan Nabi dan para sahabat tanpa dikumpulkan dalam bentuk buku seperti yang ada kini.
  • Fenomena ini menjadi keistimewaan kitab suci Al-Qur'an kerana usaha penghafalan Al-Qur'an ini berlaku terus-menerus, dari generasi ke generasi seterusnya sehingga ke hari ini.
  • Di seluruh dunia, terdapat ribuan pusat hafazan Al-Qur'an.
  • Para penghafal bukan sahaja terdiri daripada kalangan bangsa 'Arab yang memahami ayat-ayat Al-Qur'an sahaja bahkan mereka yang tidak memahami dan tidak bertutur bahasa 'Arab pun menjadi penghafal Al-Qur'an. Bukan orang dewasa sahaja bahkan kanak-kanak yang berusia di bawah umur 10 tahun sudah mampu menghafal Al-Qur'an dari kulit ke kulit. Begitulah janji ALlaah yang terbukti kebenaran-Nya.
Firman ALlaah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya"

*** Ayat ini memberi jaminan tentang kesucian dan kemurniaan Al-Qur'an akan sentiasa terpelihara selama-lamanya"


P/s:
Penulisan akan bersambung di artikel yang akan di'post' sedikit masa lagi. Insha'ALlaah. Moga kita istiqomah dalam memelihara kesucian kalamuLlaah yang suci. BaarokaLlaahu fiikum

1 comment:

  1. salam, saya nak bertanya beberapa persoalan. Siapakah yang bertanggungjawab menyusun ayat-ayat tersebut? sebagai contoh, surah al-alaq turun di permulaan bi`thah hanya sebanyak 5 ayat sahaja, dan selepas itu turun surah al-Muzammil. siapakah yang menentukan ayat-ayat tersebut bersambung antara satu sama lain. siapakah pula yang menetukan ayat-ayat yang turun tersebut berada dalam satu surah? susunan ayat? seterusnya, siapakah yang memberi nama-nama surah tersebut? siapakah yang membahagikan juzu`2 dalam quran?

    ReplyDelete