Sunday, October 18, 2009

AMALKAN DOA INI...

DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGERAK)

Oleh: Ismail bin Abu Bakar

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;


Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;


Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;
1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;
1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.

Keberuntungan beramal dengan doa ini

Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Sumber: http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=50

P/s: Artikel ini ana postkan pada kali ini atas permintaan sahabat2... walau apapun keadaan diri kita, berusahalah untuk melazimkan diri "dekat" dengan al-Qur'an. Bukankah Allah telah menegaskan bahawa Al-Qur'an adalah PENAWAR BAGI ORANG BERIMANI DAN PENGUBAT BAGI PENYAKIT-PENYAKIT YANG BERADA DALAM DADA MANUSIA???

Paling penting, benteng pertahanan yang ampuh dalam diri ialah pegangan aqeedah yang benar dan teguh serta menjaga AMALAN-AMALAN FARDHU. WaLlaahu a'lam

Thursday, October 1, 2009

LAGU UNTUK IBU



p/s: Untuk ibuku yang tercinta Luminah Matin @ Nurmiah Abdullah. I Love u mummy. Alhamdulillaah Allah memberi peluang pada ana untuk merasa pengalaman mengandungkan bayi. Terlalu banyak kesakitan yang ditanggung oleh seorang ibu. Makan tak lalu. Asyik muntah. Selalu keletihan. Pening. Sakit belakang. Itulah antara sedikit dari penderitaan yang ditanggung oleh seorang ibu, bahkan semakin janin berkembang menjadi semakin banyak lagi ujian yang ditanggung oleh seorang ibu. namun hati tetap gembira dan bersabar kerana tahu semua itu mendapat ganjaran di sisi Allah. apa yang dharap adalah redho Allah dan redho suami.

Mummy, please forgive me.


PUASA DI BULAN SYAWAL (SIRI 2)

Maka bagi sesiapa yang ingin berpuasa sunat di bulan Syawal:

1. Jika ada tangunggan puasa qadha, maka lebih utama dilakukan qadhanya. Atau didahulukan qadhanya. Bagi orang yang meninggalkan puasa dengan uzur seperti haid atau sakit, sunat menyegerakan qadha. Berbeza bagi yang meninggalkan puasa tanpa uzur maka wajib baginya menyegerakan qadha.

2. Qiyas pada sembahyang, iaitu haram bagi orang yang meninggalkan sembahyang fardhu tanpa uzur, dia melakukan sembahyang sunat. Melainkan dia dikehendaki qadha sembahyangnya itu terlebih dahulu. Begitu juga puasa, maka haram bagi yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur, dia melakukan puasa sunat. Melainkan dia dikehendaki qadha puasanya itu terlebih dahulu.

3. Bagi mereka yang berpuasa qadha maka memadai dengan niat qadha, dia dikira sudah memenuhi tuntutan puasa 6 di bulan Syawal. Qiyasnya adalah seperti seorang yang masuk masjid, baginya ada tuntutan solat sunat tahiyatul masjid. Tapi dikira sudah memenuhi tuntutan tahiyatul masjid apabila dia hadir di masjid dan solat fardhu berjemaah sedang dilakukan, maka dia terus bertakbiratulihram dan melakukan solat fardhu berjemaah. Biarpun dia hanya berniat fardhu dalam solatnya itu.

4. Pendapat lain menghendaki dia menggabungkan niat puasanya, yakni niat puasa qadha dan puasa sunat. Menurut pendapat ini, jika tidak diniatkan puasa sunat sekali, maka hanya dapat puasa qadha sahaja, tanpa dapat puasa sunatnya. Namun, perlu diingat bahawa niat qadha kena dahulu daripada terbit fajar. Makanya jika digabungkan niat, kerana ada qadha di situ, wajib berniat sebelum terbit fajar. Ini kerana bagi puasa fadhu Ramadhan, qadha dan juga nazar, wajib menetapkan niat sebelum terbit fajar.

5. Bagi isteri-isteri yang mahu berpuasa qadha atau nazar maka tidak perlu minta izin suami untuk berpuasa qadha. Namun, lebih baik dan beradab jika dimaklumkan kepada suami. Berbeza bagi isteri-isteri yang mahu berpuasa sunat, jika suami berada bersama-samanya, maka wajib minta izin. Jika suami berjauhan, tiada wajib. Tapi jika suami balik, sedangkan dia dalam berpuasa sunat, maka ditanya apakah diizinkan terus berpuasa atau berbuka sahaja. Maka atas suami menentukan. Bagi puasa sunat Arafah dan puasa Asyura, maka tidak perlu pada keizinan sama seperti puasa qadha atau nazar.

Wallahua'lam.

Sumber: http://fekah.blogspot.com/

PUASA DI BULAN SYAWAL

Dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal setelah mengerjakan sebulan puasa Ramadhan. Tersebut dalam hadis, orang yang seperti ini mendapat pahala puasa sepanjang tahun. Berikut beberapa tips berpuasa di bulan Syawal:

1. Bagi mereka yang ada tertinggal puasa di bulan Ramadhan tanpa disengajakan atas alasan uzur syarie, maka sunat menyegerakan qadha puasanya. Keutamaan baginya berpuasa qadha daripada berpuasa sunat.

2. Bagi yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhannya tanpa ada apa-apa alasan uzur syarie, maka wajib padanya menyegerakan qadha puasa. Tidak boleh baginya puasa sunat melainkan setelah selesai qadha tersebut.

3. Untuk yang mengqadha puasa di bulan Syawal, berniat qadha di malam hari sebelum terbit fajar. Tidak perlu menggabungkan niat puasa sunat dan puasa qadha biarpun ada pendapat yang membolehkannya. Orang yang berpuasa qadha di dalam bulan Syawal, dikira telah menyelesaikan tuntutan berpuasa sunat di bulan Syawal.

4. Kepada yang mampu, maka dibolehkan untuk mereka menyambung puasa sunat di bulan Syawal, setelah disempurnakan hari-hari puasa qadhanya.

5. Digalakkan berpuasa sunat itu bermula pada hari ke-2 bulan Syawal, dengan berturut-turut sehingga hari ke-7 bagi mencukupkan 6 hari. Namun, bagi mereka yang disibukkan dengan menziarahi keluarga, teman dan sanak-saudara, tidak mengapa jika diselang-selikan harinya. Atau dilewatkan mula berpuasanya kerana keutamaan itu pada menyambung silaturrahim dan menggembirakan mereka.

Sumber: http://fekah.blogspot.com/2007_10_01_archive.html

Monday, September 14, 2009

ZAKAT FITRAH

Sabda Rasulullah s.a.w : "Amalan Puasa Ramadhan seseorang itu tergantung antara langit dan bumi, sehinggalah dibayar olehnya zakat fitrah." (Kitab Jamius Soghir)

Beberapa keterangan tentang zakat fitrah:

1. Sebaiknya zakat fitrah itu dibayar sebelum didirikan sembahyang raya biarpun waktu membayarnya masih ada sehinggalah terbenam matahari berakhirnya 1 syawal.

2. Orang yang tidak membayarnya, sehingga melepasi waktu membayarnya, wajib qadha.

3. Hanya sanya yang wajib membayarnya adalah orang yang berkesempatan hidup daripada hujung bulan Ramadhan hinggalah melepasi maghrib bermulanya 1 Syawal. Bayaran tersebut adalah tanggungjawab kepada yang menanggung nafkah sekiranya keperluan asasi diri dan tanggungan nafkahnya seperti makanan & pakaian mencukupi untuk 1 Syawal.

4. Membayar zakat fitrah dengan wang adalah taklid kepada mazhab Hanafi sebagai kemudahan kita dan juga penerima zakat. Sedangkan dalam Mazhab Syafie, ditetapkan dengan makanan asasi setempat, contoh beras.

5. Wajib niat dalam hati sewaktu membayar zakat atau sebelumnya lagi sewaktu mengasingkan wang tersebut untuk zakat.

6. Wang zakat itu dibayar di daerah tempat kita tinggal dan haram memindahkan bayarannya ke tempat lain. Kecuali dibolehkan juga di daerah yang berdekatan, kata sesetengah ulamak.

Monday, September 7, 2009

UNIVERSITI KEHIDUPAN, MARI USAHAKAN!

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه أجمعين

Assalaamu'alaykum wa rohmatullaah... dikesempatan yang ada ini, ana ingin berkongsi email yang telah diemailkan kepada ana untuk tujuan perkongsian, renungan dan tindakan pihak yang berkenaan...(insha'Allah akan ditambah sedikit lagi gambar sebagai bukti...

"Ustaz, boleh tak sampaikan sedikit kuliah dalam 10 minit pada saudara-saudara kita di sini" minta kak Liza.

Mmm, eee, kita taaruf dahululah ye, Nama saya...

Inilah pertama kali dalam hidup saya, sejak bergelar ustaz, tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan.

Hari ini 23 Jun jam 12.30 tengah hari, saya bersama pesakit HIV positif. Pada hal ketika ini, penghuni semua sedang tidur, berehat setelah makan ubat. Tetapi mereka semua bangun kerana mendapat tahu seorang ustaz datang melawat mereka.

Saya tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan bukan kerana mereka pesakit HIV. Tetapi, tempat kami menyampaikan kuliah agama ini ialah di dalam sebuah gereja.

Tetapi inilah hakikatnya. Tempat perlindungan pesakit HIV bagi orang dewasa adalah di gereja. Orang bukan Islam yang menaungi mereka, dan sudah beberapa yang mati di sini.

Menurut Kak Liza, bagi pesakit HIV dewasa, tidak ada tempat perlindungan yang dibuat oleh orang Islam.

Majlis Agama Islam Selangor pernah bercadang untuk membuatnya, tetapi hingga sekarang belum menunjukkan apa-apa perkembangan.

Saya malu pada diri saya saat ini. Seolah-olah, saya diberi tahu,

"apa lah kamu orang Islam ni, cakap aje pandai, saudara seIslam yang sakit pun tidak dihiraukan".

Selesai taaruf, salah seorang dari mereka memberi tahu,

"Imam masjid sebelah selalu datang"

Hati saya menyapa:-

Kenapa tidak dibuat di masjid sahaja tempat perlindugan ini, bukannya tak ada tanah."

"Pihak MAIS ada jugalah jengok kami, tapi jarang-jarang. Dalam sebulan sekali lah."

Hati saya menyapa:-

"Kena sampaikan ni, pada sahabat-sahabat dari MAIS. Kena buat sesuatu."

Saya masih kelu dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Tajuk apa yang saya nak sampaikan?

Tajuk Ukhuwah? Tajuk berkasih sayang sesama Islam? Tajuk "semua perkara ada hikmah"? Tajuk apa? Tajuk apa yang sesuai?

"Aduhai Tuhan.. kenapa aku di sini hari ini.." rintih hati saya atau lebih tepat:-

"Kenapa sekarang baru dapat tahu, kenapa tidak peka, kenapa tidak dari dulu lagi aku datang menjenguk sahabat-sahabat seIslam di sini.."

Akhirnya saya menyampaikan sedikit tazkirah, tak sampai dua minit. Saya hanya membicarakan mengenai kasih sayang Allah pada manusia. Semakin banyak saya berkata, semakin banyak hati saya berkata:-

"Ah. pandai cakap aje, apa yang kamu buat hah."

Tazkirah di akhiri dengan sedikit ucapan dari kak Liza.

Majlis berakhir dengan bersalaman. Salah seorang penghuni, dengan suara yang rendah, berkata pada saya:-

"Ustaz.. terima kasih sebab datang ye.."

Nak menitik air mata saya melihat mereka. Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya,

"Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

Saya melangkah keluar dari dewan kuliah. Di sebelahnya terdapat salib. Yang masih boleh berjalan, menghantar saya hingga ke kereta.

Mereka melambai ke arah kami serombongan sambil berkata:-

"Nanti datang lagi ye.."

Van yang kami naiki menuruni cerun kawasan gereja. Hati saya tak putus-putus berdoa:-

"Ya Allah, selamatkan iman mereka. Ya Allah, beri kami kemampuan, dalam tahun ini insyaAllah, kami akan usaha mengeluarkan mereka dari gereja ini Ya Allah."

Kami meninggalkan tempat ini. insyaAllah, selepas saya pulang dari Turki nanti minggu depan, kita akan usahakan sesuatu, bisik hati saya.

Pada saya, mewujudkan tempat perlindungan ini dah taraf fardhu ain dah, ini kerana tidak ada lagi tempat perlindungan bagi orang dewasa seperti ini yang dibuat. Selagi ada orang Islam yang masih duduk di gereja ini, selagi itulah tanggung jawab ini tidak terlepas dari setiap bahu orang Islam.

Saya menyeru pada semua pembaca. Mari sama-sama kita usahakan. Jika ada niat, maka, insyaAllah, pasti ada jalan.

InsyaAllah, saya akan mewar-warkan pada semua jika ia akan dimulakan. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan keluarkan mereka dari gereja ini. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan usahakan rumah penjagaan bagi orang Islam.

Semoga sedikit niat ini mendapat bantuan ilahi, amin.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
24 Jun 09, jam 2.15 pagi



Bersama pesakit HIV

Gambar Jesus di sana sini.


Dewan kuliah di gereja ini

Dari mata mereka, mereka seolah-olah memberi tahu saya, "Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

Kenangan bersama penghuni

Wednesday, September 2, 2009

TERMASUK AIR KETIKA BERPUASA

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيد المرسلين محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه أجمعين

Soalan: Sewaktu berpuasa, termasuk air itu bagaimana hukumnya?

1. Seorang yang berkumur-kumur untuk berwudhuk kemudian tertelan air dimaafkan dan puasanya tetap sah, dengan syarat kumur-kumur itu tidak berlebihan. Jika dia berkumur-kumur dengan banyaknya air atau lebih daripada 3 kali maka, walau tertelan air dengan tidak sengaja, dihukumkan batal puasa.



2. Seorang yang ada najis dalam mulutnya seperti darah, kemudian berkumur-kumur, walaupun berlebihan semata-mata hendak menghilangkan najis tersebut, maka jika tertelan air, maka dimaafkan dan puasanya tetap sah.



3. Seorang yang mandi junub, kemudian termasuk air dalam telinganya, maka dimaafkan dan puasanya tetap sah. Tidak dimaafkan jika dia mandi dengan menyelam.


4. Seorang yang mandi sunat atau mandi kebiasaan, maka tidak dimaafkan jika termasuk air ke dalam telinganya. Dikira batal puasanya.

Sumber: http://fekah.blogspot.com/2007_09_01_archive.html

P/s: Berpada-padalah dan beringatlah serta berjimatlah menggunakan air (^_^)